Dan
(ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan
binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa
dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami),
sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (127) Wahai
Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah
diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang
berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan
cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah
Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (128) Wahai
Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka
sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu (firmanMu) dan
mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat
kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan
maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(129) Tidak
ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain dari orang yang
membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih
Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini dan sesungguhnya dia pada hari
akhirat kelak tetaplah terdiri dari orang-orang yang soleh yang
(tertinggi martabatnya). (130) (Ingatlah)
ketika Tuhannya berfirman kepadanya: Berserah dirilah (kepadaKu wahai
Ibrahim)! Nabi Ibrahim menjawab: Aku berserah diri (tunduk taat) kepada
Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (131) Dan
Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya dan
(demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya:
Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini
menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam
keadaan Islam. (132) (Demikianlah
wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai
orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati,
ketika dia berkata kepada anak-anaknya: Apakah yang kamu akan sembah
sesudah aku mati? Mereka menjawab: Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan
datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan Yang Maha Esa
dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman). (133) Mereka
itu adalah satu umat yang telah berlalu sejarahnya; bagi mereka
(balasan) apa yang mereka telah usahakan dan bagi kamu pula (balasan)
apa yang kamu usahakan dan kamu tidak akan ditanya (atau
dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan. (134)
No comments:
Post a Comment